KATA ALU-ALUAN MAJALAH SEKOLAH TAHUN 2014



Berikut adalah Kata Alu-aluan Sekolah Tahun 2014 oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin B. Hj.Mohd Yassin untuk diletakkan dalam majalah sekolah tahun 2014. Kata Alu-aluan ini boleh dimuat turun dari portal rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia atau dicapaian berikut:


 
 

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Kementerian Pendidikan memainkan peranan yang amat penting bagi menentukan hala tuju modal insan negara pada masa hadapan. Setiap rakyat di negara ini tentunya mahukan sistem pendidikan terbaik demi menghasilkan modal insan yang mampu menangani cabaran dan bersaing di peringkat global, namun masih lagi berpegang teguh kepada agama, nilai dan identiti nasional. Untuk itu, penambahbaikan secara berterusan adalah diperlukan bagi memastikan mutu pendidikan negara kita adalah setanding dengan pendidikan di negara-negara maju.


Dengan adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM), segala usaha memartabatkan sistem pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi dapat digarap dan diselaraskan dengan terancang. Melalui PPPM, Kementerian Pendidikan telah mempamerkan iltizam dan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif yang telah ditetapkan bagi membolehkan aspirasi sistem pendidikan dapat dicapai di setiap peringkat. Ia turut menggariskan bahawa guru dan pemimpin sekolah merupakan penggerak utama yang paling penting di peringkat sekolah bagi memastikan keberhasilan murid. Adalah penting bagi guru dan pemimpin sekolah untuk memastikan peningkatan profesionalisme dilakukan secara berterusan demi mencapai matlamat yang digariskan PPPM.


Transformasi pendidikan yang dirancang ini adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan murid pada hari ini, tetapi juga seluruh anak bangsa pada masa akan datang. Justeru, segala cabaran dan halangan perlulah kita tangani dengan bijaksana. Sesungguhnya untuk memulakan perubahan itu memerlukan keazaman yang tinggi, namun saya yakin dengan iltizam yang kuat dan kerjasama semua pihak serta niat yang ikhlas, insyaAllah usaha kita akan diberkati dan aspirasi yang dihasratkan dapat dicapai.


Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua warga pendidikan yang telah berusaha gigih untuk memastikan nama negara bersinar di peringkat antarabangsa. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda negara, sekaligus mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia.


Akhir kata, tahniah dan syabas diucapkan kepada Sidang Redaksi serta semua pihak yang telah berusaha gigih bagi merealisasikan penerbitan majalah sekolah ini.




“SELAMAT MAJU JAYA”




TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN


sumber