Kuala Kangsar (2/11/2013) : Tindakan pantas seorang pemandu kereta api memadam kebakaran enjin di lokomotif (kepala kereta api) berjaya mengelak kereta api yang dinaiki 442 penumpang dari Hadyai, Thailand ke Kuala Lumpur terbakar dalam kejadian berhampiran jambatan kereta api Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru, Enggor, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kepala kereta api itu dipercayai tiba-tiba terbakar sehingga memaksa pasukan bomba dan penyelamat dipanggil bagi memadam kebakaran.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Deputi Superintendan Guan Beng Kang ketika dihubungi berkata, tiada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) atau penumpang cedera.
“Semua penumpang dibawa ke Stesen Kereta Api Kuala Kangsar manakala kepala kereta api ditarik ke Stesen Kereta Api Sungai Siput. Setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata, semua penumpang meneruskan perjalanan ke ibu negara menggunakan kepala kereta api gantian tidak lama kemudian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.39 pagi sebelum tiba berhampiran tempat kejadian 10 minit kemudian.
Menurutnya, pihak bomba sukar menghampiri landasan kereta api kerana permukaan tanah tidak rata dan berbukit. Bagaimanapun, beberapa anggota berjaya masuk berhampiran kepala kereta api lalu mengambil alih sepenuhnya usaha memadam kebakaran.
http://www.hmetro.com.my/articles/Keretaapaiterbakar/MA/Article